Rabu, 16 Februari 2011

Amalan Yang Lebih Besar Pahalanya Daripada Solat Dan Puasa


"Mahukah kamu aku amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?" Sahabat menjawab, "Tentu sahaja!" Rasulullah pun kemudian menjelaskan, "Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menghubungkan berbagai kelompok dalam Islam dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan." (HR Bukhari-Muslim)


Kekuatan ukhuwah memang hanya dapat dibangkitkan dengan kemuliaan akhlak. Oleh kerana itu, nampaknya kita amat merindukan peribadi-peribadi yang menjelmakan keluhuran akhlak.

PERTAMA : Peribadi-peribadi yang memiliki aneka macam buah fikiran, walau sederhana apa pun, adalah buah fikiran yang kuat yang boleh dicurahkan untuk meringankan atau bahkan memecahkan masalah-masalah yang berlegar pada diri sendiri mahupun orang-orang di sekelilingnya sehingga berdialog dengannya sentiasa membuahkan kelapangan.

KEDUA : Tatapan matanya adalah tatapan yang bijak bestari sehingga sesiapapun akan merasakan kesejukan dan ketenteraman.

KETIGA : Wajahnya adalah cahaya cemerlang yang sedap dipandang lagi memberi kesan kerana menzahirkan kejujuran
‘i'tiqad’.

KEEMPAT : Senyumannya yang tidak pernah lekang menghiasi bibirnya adalah sedekah yang jauh lebih mahal nilainya daripada intan mutiara.

KELIMA : Lisannya sentiasa mengeluarkan untaian kata-kata yang penuh hikmah, menyejukkan, membangkitkan keinsafan dan meringankan beban derita sesiapapun yang mendengarkannya.

KEENAM : Jabatan tangannya yang hangat adalah jabatan tangan yang mempertautkan seerat-eratnya dua hati dan dua jiwa yang tidak akan terlepas kecuali dimulai dan diakhiri dengan ucapan salam. Kedua tangannya sangat mudah dihulurkan kepada sesiapapun yang memerlukannya. Sementara itu, bimbingan kedua tangannya, tidak dapat tidak, sentiasa akan berakhir di majlis-majlis yang diberkati oleh Allah Azza wa Jalla.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhijrah dari keadaan berpecah belah menuju ‘Ukhuwah Islamiyah’ di samping menepis karat-karat jahiliyah dari hati ini. Memiliki hati yang bersih dan selamat mesti diutamakan di atas segala-galanya agar kita mampu membuat penilaian diri dengan sebaik-baiknya dan menatap jauh ke depan agar Islam benar-benar dapat dimanifestasikan menjadi "Rahmatan lil `aalamiin" dan umat atau pemeluknya benar-benar menjadi "Sebaik-baik umat" yang dikeluarkan di tengah-tengah manusia.


Ya Allah kuatkanlah iman kami dan hiasilah hati-hati kami dengan sifat-sifat yang mulia yang akan menumbuhkan perasaan ukhuwah sejati terhadap sesama saudara kami. Hindarkanlah hati kami dari perasaan buruk sangka yang akan menjadi benih kepada sifat-sifat buruk yang lain yang akhirnya akan menghancurkan kekuatan ukhuwah sesama saudara muslim.